Monday 23 July 2012

Puasa dan Olimpik


Ada masa, Ramadan jatuh musim sejuk.
Ada masa, Ramadan jatuh musim panas.
Ada sesetengah tempat, sejuk atau panas, Ramadan sama sahaja, seperti di Malaysia.
Oleh kerana Ramadan hadir 11 hari lebih awal pada setiap tahun, kerana perbezaan kalendar lunar dan kalendar solar, Ramadan pernah jatuh di bulan Disember, Ramadan kini jatuh di bulan Julai.
Di Australia dan Afrika Selatan, Ramadan 1433 hadir dalam suasana yang nyaman di musim sejuk, serta waktu siang yang lebih pendek.
Namun lain kisahnya bagi umat Islam di Eropah. Ramadan kali ini tiba di kemuncak musim Panas. Bukan sekadar cuacanya panas, malah tempoh waktu siangnya juga amat panjang. Di sekitar England, Subuh masuk sekitar jam 3 pagi dan Maghrib pula pada jam 9 malam!
Mujur saya sudah pulang ke Malaysia!
BERPUASA DI MUSIM PANAS
Berpuasa di musim panas, ada nilainya yang tersendiri. Nilainya bukan sebarangan, tetapi nilai yang mencetus kekuatan luar biasa. Biar pun Fiqh akan menjaga kepentingan-kepentingan asas manusia, dan mewajibkan seorang Muslim untuk berbuka puasa andai meneruskan puasa berisiko memutus nyawa, berbuka puasa bukan pilihan mudah-mudah untuk umat ini di dalam sejarah.
Di dalam sepotong hadith riwayat al-Imam Muslim:
قال أبو الدرداء لقد رأيتنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في بعض أسفاره في يوم شديد الحر حتى إن الرجل ليضع يده على رأسه من شدة الحر وما منا أحد صائم إلا رسول الله صلى الله عليه وسلم وعبد الله بن رواحة
 Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu berkata, “Kami pernah musafir bersama Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada Ramadan ketika musim panas yang amat sangat, sehinggakan seorang antara kami meletakkan tangannya di atas kepala kerana panas yang sangat menyengat. Tidak ada antara kami yang berpuasa kecuali Rasulullah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Abdullah bin Rawahah.” [Hadith riwayat Muslim]
Semasa bermusafir, memang ada pilihan antara berbuka dan terus berpuasa. Kedua-duanya diterima tanpa yang tidak berpuasa diaibkan oleh mereka yang berpuasa.
Namun, dalam kepanasan Ramadan seperti itu, ada beberapa individu yang luar biasa. Ada dua insan yang terus berpuasa, iaitu Penghulu kita Rasulullah allallaahu ‘alayhi wa sallam, dan Abdullah bin Rawahah radhiyallahu ‘anhu. Dua insan yang mengambil kepanasan Ramadan sebagai sebuah cabaran. Kedua-duanya adalah wira besar umat. Sudah tentu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai uswah hasanah kita, mendahului keperwiraan itu.
Kemudian Abdullah bin Rawahah, insan berjiwa seni, yang akhirnya gugur sebagai syahid dalam perjuangannya di Medan Mu’tah!
Apa motivasi mereka?
MOTIVASI GENERASI EMAS
Abu Darda’ sendiri pernah berpesan:
 صوموا يوما شديدا حره لحر يوم النشور وصلوا ركعتين في ظلمة الليل لظلمة القبور
Berpuasalah kamu pada hari yang panas, pada memikirkan panasnya Mahsyar itu nanti. Dirikanlah solat dua rakaat pada malam yang gelap, dek memikirkan gelapnya liang lahad di alam kubur nanti
Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu semasa di baringan maut, berpesan kepada anaknya Abdullah:
عليك بخصال الإيمان وسمى أولها : الصوم في شدة الحر في الصيف
Hendaklah kamu memelihara cabang-cabang Iman… lalu Umar menyatakan yang pertamanya: berpuasa pada hari yang sangat panas di Musim Panas
Berpuasa di musim panas yang terik ini, dikenali di kalangan Salafussoleh sebagai Zama’ al-Hawajir.
Bukan sekadar Ramadan, malah puasa-puasa yang sunat, amat diutamakan oleh para Sahabat untuk dilakukan di musim panas yang terik dan siang panjang itu. Antaranya adalah Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu.
BARANG MAHAL
Sekumpulan wanita solehat seperti yang dinukilkan kisahnya di dalam Lathaif al-Ma’aarif oleh Ibn Rajab al-Hanbali, mereka berpuasa di musim panas dengan penuh keteguhan. Apabila ditanya tujuan berbuat demikian, mereka berkata:
إن السعر إذا رخص اشتراه كل أحد
“Sesuatu yang murah, boleh sahaja dibeli oleh sesiapa!”
Wanita ini mencabar diri mereka, bahawa untuk berdiri mulia di hadapan Allah, mereka mesti mencabar diri. Mereka bukan mengambil ruang-ruang kelonggaran dengan seadanya, tetapi memilih musim-musim yang sukar untuk bertanding dengan diri sendiri. Zama’ al-Hawajir, benar-benar musim ‘Olimpik’ para Salafussoleh!
OLIMPIK LONDON 2012
Semangat inilah yang ingin saya tiupkan kepada para atlet negara yang menyertai Temasya Sukan Olimpik di London pada 27 Julai – 12 Ogos akan datang.
Pingat emas Olimpik bukan untuk atlet sebarangan. Ia adalah pengiktirafan untuk YANG TERBAIK.
Kali ini Olimpik berlangsung di bulan Ramadan dan Musim Panas.
Atlet kita menjadi pejuang di era  Zama’ al-Hawajir!
Semoga dengan semangat luar biasa melalui ibadah puasa yang mencetuskan kekuatan terbaik, kita akan melihat sinar emas di Temasya kali ini. Bukan nilai emas itu yang dikejar. Tetapi membuktikan bahawa atlet Muslim yang berpuasa di musim  Zama’ al-Hawajir, jangan main-main dengan mereka.
Sokongan saya buat seluruh pasukan negara di London.

Dr Asri @ Dr Maza

No comments:

Post a Comment