Monday 23 July 2012

Hakikat Kejayaan


baby








Kerjaya dalam bidang pendidikan menyaksikan sedikit kecenderungan manusia mengejar sesebuah kejayaan yang satu. Dalam dunia bergelar siswa dan siswi, PNGK 4.0 menjadi kayu ukur manusia yang paling berjaya. Kegigihan mereka yang inginkan kejayaan terserlah dengan kegigihan mereka bersusah payah datang setiap hari berjumpa pensyarah untuk bertanyalan soalan.
Keadaan ini sungguh menyentuh hati. Terkadang meningkatkan semangat pensyarah untuk terus memberikan seberapa banyak ilmunya sehingga di saat akhir. Akhirnya pelajar sebegini akan mendapat apa yang diimpikannya. Tempiasnya kepada pensyarah yang mengajar mereka. Tersenyum lebar dan puas atas penat lelah melayan karenah pelajar sebelumnya. Ini juga sebuah kejayaan bagi seorang pensyarah.
Itulah kejayaan pada manusia. Berjaya mengejar cita-cita. Berjaya mendapatkan kereta idaman. Berjaya menambat hati orang tersayang. Berjaya mengumpul harta. Kejayaan demi kejayaan ditempuhi manusia menjadikannya puas dan bahagia. Bahagia kerana kejayaan ini diperolehi hasil titik peluh dan penat jerih dalam masa-masa tertentu. Kecenderungan kepada nilai material dan angka yang besar menjadi kayu ukur untuk berjaya. Markah yang tinggi, anak yang ramai dan harta yang banyak.
Namun hakikiat Kejayaan itu bersifat subjektif. Membawa pengertian yang sangat besar. Allah SWT Maha Adil. Setiap manusia dijadikan dengan fungsi untuk mencapai kejayaan tersendiri. Dalam bidang yang berlainan dan pelbagai. Tiada yang sia-sia. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"(surah al-Mukminun: Ayat 115) 
Tiada manusia yang lahir tanpa makna. Tiada manusia lahir sia-sia. Biarpun seorang tukang sapu. Betapa bermaknanya mereka. Jika mereka tiada, seluruh tempat akan menjadi kotor. Maka tukang sapu telah berjaya menjadikan banyak tempat bersih. Itulah kajayaannya. Tahniah kepada tukang sapu. Semuanya punya fungsi untuk mencapai objektif masing-masing.
Kejayan Menurut Al-Quran
Kejayaan tercipta setiap hari. Apabila ada yang telah berazam dan memulakan hari yang baru, matlamat yang baru, kejayaan yang baru juga bakal muncul. Setelah berjaya, manusia akan mengimpikan kejayaan lain berdasarkan matlamat yang hendak dicapai. Islam juga menetapkan hakikat kejayaan bagi seorang mukmin melalui sepertimana yang telah diungkapkan oleh Allah SWT dalam kalam suci Al-Quran surah Al-Mukminun ayat 1-11:
1) Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,
2) (iaitu) orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya,
3) dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,
4) dan orang-orang yang menunaikan zakat,
5) dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,
6) terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa.
7) Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
8) Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.
9) dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.
10) Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,
11) (iaitu) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.



Jelas dalam ayat ini menerangkan hakikat sebenar kejayaan. Iaitu mereka yang akan mewarisi syurga Allah dan kekal di dalamnya. Kerana dunia hanya akan kita rasakan umpama satu kerdipan mata ketika di padang mahsyar kelak. Maka ramailah yang akan tahu betapa mereka telah tertipu dengan kejayaan yang mereka kejar semasa di dunia.
Sememangnya beruntunglah mereka yang mengutamakankan urusan akhirat dalam segala hal. Beruntunglah mereka yang sentiasa mengaitkan kehidupannya dengan dunia yang kekal abadi. Manusia yang selalu lupa akan hakikat ini seringkali akan menyangka semua kejayaan yang dimiliki akan kekal... padahal mereka masih lagi di dunia... sedangkan dunia itu pula bersifat fana (hancur).
Kejayaan bukan hanya dalam pelajaran
Ternyata, tidak semestinya mereka yang berjaya memperoleh markah yang tinggi dianggap berjaya. Tidak semestinya mereka yang sememangnya genius akan sentiasa mendapat tempat dalam pelajaran. Tetapi mereka yang berjaya adalah seorang yang sentiasa mampu bertahan (survive) dengan persikitaran mereka. Mempunyai prinsip hidup yang tetap dan benar. Mampu menongkah arus yang kadangkala menyongsang arah perjuangan.
Maka, tiada istilah putus asa untuk mereka yang tidak hebat dalam pelajaran... Tiada kata malas untuk mereka yang agak lambat dalam menuntut ilmu. Tiada kata rendah hati untuk mereka yang sering ketinggalan. Kerana di hadapan mereka terbentang luas pelbagai jenis kejayaan. Yang menjadikan mereka pelbagai manusia yang berjaya dalam bidangnya.
Percayalah, rahmat Allah itu luas dan Allah sesekali tidak suka orang yang berputus asa. Walaupun kadangkala hambaNya itu melampaui batas. 
Firman Allah yang bermaksud:-
Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"(Surah Az-Azumar : Ayat 53)

Apa itu Ruqyah?


Ruqyah




















Pengertian Ruqyah
Ruqyah secara biasa adalah jampi-jampi atau mantera. Ruqyah secara syar’i ( Ruqyah Syar’iyah ) adalah jampi-jampi atau mantera yang dibacakan oleh seseorang untuk mengubati penyakit atau menghilangkan gangguan jin atau sihir atau untuk perlindungan dan sebagainya. Dengan hanya menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang bersumber dari hadiths-hadiths Rasulullah SAW yang dapat difahami maknanya selama tidak mengandungi unsur kesyirikan.
Ruqyah Secara Umum Terbahagi Kepada 2
Pertama : Ruqyah yang diperbolehkan oleh syari’at Islam iaitu disebut Ruqyah Syar’iyah.
Kedua : Ruqyah yang tidak dibenarkan oleh syari’at Islam, iaitu Ruqyah dengan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak difahami maknanya atau Ruqyah yang mengandungi unsur-unsur kesyirikan.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Perlihatkan kepadaku ruqyah kalian, dan tidak apa-apa melakukan ruqyah selama tidak ada unsur syirik.”    ( HR. Muslim )
Syarat-syarat Ruqyah Syar’iyah
Para ulama sepakat membolehkan Ruqyah dengan tiga syarat ;
  1. Dengan mempergunakan firman Allah ( ayat-ayat Al-Quran ) atau nama-nama dan sifat-sifat-Nya.
  2. Mempergunakan Bahasa Arab atau bahasa yang dapat difahami maknanya.
  3. Berkeyakinan bahwa zat Ruqyah tidak berpengaruh apa-apa kecuali atas izin Allah SWT.
Ketentuan Meruqyah
Tatkala melakukan Ruqyah hendaknya diperhatikan ketentuan berikut ;
  1. Ruqyah tidak mengandungi unsur kesyirikan.
  2. Ruqyah tidak mengandungi unsur sihir.
  3. Ruqyah bukan berasal dari dukun, paranormal, tukan telek dan orang-orang yang segolongan dengan mereka, walaupun secara zahir mereka memakai sarban, jubah dan sebagainya. Keranabukan penampilan yang menjamin seseorang itu terbebas dari perdukunan, sihir dan kesyirikan.
  4. Ruqyah tidak mempergunakan ungkapan yang tidak bermakna atau tidak difahami maknanya, seperti tulisan abjad atau tulisan yang tidak difahami.
  5. Ruqyah tidak dengan cara yang diharamkan seperti dalam keadaan junub, di kburan, di kamar mandi, di bilik yang gelap dan sebagainya.
  6. Ruqyah tidak mempergunakan ungkapan yang diharamkan, seperti celaan, cacian, laknat dan lain-lainnya.
Keutamaan Al Quran dan Sunnah Rasulullah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang tidak menurunkan suatu penyakit kecuali Dia menurunkan juga ubat penawarnya.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Setiap penyakit ada ubat penawarnya dan apabila suatu ubat itu sesuai dengan jenis penyakitnya, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah.” ( HR. Muslim ) Dan yakinlah bahwa tidka ada yang mampu menyembuhkan sesuatu penyakit melainkan hanya Allah SWT. Maka di antara cara yang paling tepatm efektif dan mujarab untuk menghilangkan sesuatu penyakit dan menangkal mara bahaya adalah dengan memfungsikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pengubatan. Al-Quran telah menjelaskan hal itu secara terang :
Katakanlah, “Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar.” ( QS. Fushshilat : 44 )
“Dan kami turunkan dari Al-Quran ( ada ) sesuatu yang menjadi ubat penawar dan menjadi rahmat bagi orang yang beriman.” ( QS. Al-Isra’ : 82 )
Junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya telah mencontohkan pengubatan dengan mempergunakan Al-Quran dan doa-doa untuk mengubati berbagai macam penyakit, baik disebabkan oleh tukang sihir seperti guna-guna dan lain-lainnya atau disebabkan oleh gangguan jin seperti kerasukan dan penyakit-penyakit aneh lainnya atau terkena gigitan binatang berbisa seperti kala-jengking, ular dan sebagainya. Rasulullah SAW juga mempergunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa untuk penjagaan dan perlindungan diri.
Beberapa Alasan Ruqyah Berdasarkan Hadith Sahih
Nabi Muhammad SAW meruqyah dirinya sendiri tatkala mau tidur dengan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu beliau tiupkan pada kedua telapak tangannya, kemudian usapkan ke seluruh tubuh terjangkau oleh kedua tangannya. (HR. Al-Bukhari )
Jabir Bin Abdullah r.a. berkata, “Seseorang di antara kami disengat kalajenking. Kemudian Jabir berkata, “Wahai Rasulullah apakah saya boleh meruqyahkannya? Maka beliau bersabda, “Barangsiapa di antara kalian yang sanggup memberikan manfaat kepada saudaranya, maka lakukanlah.” ( HR. Muslim )
Aisyah r.a. juga mengatakan, “Rasulullah SAW memerintahkan padaku agar aku minta ruqyah dari pengaruh ‘ain ( mata yang dengki ).” ( HR. Muslim )
Dari Abu Sa’id Al-Khudhri r.a., Jibril mendatangi Nabi SAW, lalu berkata, “Wahai Muhammad apakah engkau mengeluh rasa sakit?” Beliau menjawab, “Ya!” Kemudian Jibril ( meruqyahnya ), “Bismillahi arqika, min kulli syai’in yu’dzika, min syarri kulli nafsin au ‘aini hasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika”
( “Dengan nam Allah aku meruqyahmu, dari segala hal yang menyakitimu, dan dari kejahatan segala jiwa manusia atau mata pendengki, semoga Allah menyembuhkan kamu, dengan nama Allah saya meruqyahmu”) ( HR. Muslim )
Aisyah r.a. berkata, “Biasanya Rasulullah SAW apabila ada seorang yang mengeluh rasa sakit, beliau usap orang tersebut dengan tangan kanannya, kemudian berdoa, “Hilangkanlah penyakit wahai Rabb manusia, sembuhkanlah kerana Engkaulah pemberi penyembuh, tiada kesembuhan selain kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tiada meninggalkan penyakit.” ( HR. Muslim )
Uthman Bin Abil ‘Ash r.a. datang menemui Rasulullah SAW mengadukan rasa sakit pada tubuhnya yang dia rasakan semenjak masuk Islam, kemudian
Rasulullah SAW berkata, “Letakkan tanganmu pada tempat yang terasa sakit, kemudian bacalah; “Bismillahi” ( dengan menyebut nama Allah ) tiga kali, dan bacalah; “A’uzu billahi wa qudrotihi min syarri ma ajidu wa uhadziru” ( aku berlindung dengan Allah dan dengan qudrat-Nya dari kejahatan yang aku dapati dan yang aku hindari ) tujuh kali.” ( HR. Muslim )

Puasa dan Olimpik


Ada masa, Ramadan jatuh musim sejuk.
Ada masa, Ramadan jatuh musim panas.
Ada sesetengah tempat, sejuk atau panas, Ramadan sama sahaja, seperti di Malaysia.
Oleh kerana Ramadan hadir 11 hari lebih awal pada setiap tahun, kerana perbezaan kalendar lunar dan kalendar solar, Ramadan pernah jatuh di bulan Disember, Ramadan kini jatuh di bulan Julai.
Di Australia dan Afrika Selatan, Ramadan 1433 hadir dalam suasana yang nyaman di musim sejuk, serta waktu siang yang lebih pendek.
Namun lain kisahnya bagi umat Islam di Eropah. Ramadan kali ini tiba di kemuncak musim Panas. Bukan sekadar cuacanya panas, malah tempoh waktu siangnya juga amat panjang. Di sekitar England, Subuh masuk sekitar jam 3 pagi dan Maghrib pula pada jam 9 malam!
Mujur saya sudah pulang ke Malaysia!
BERPUASA DI MUSIM PANAS
Berpuasa di musim panas, ada nilainya yang tersendiri. Nilainya bukan sebarangan, tetapi nilai yang mencetus kekuatan luar biasa. Biar pun Fiqh akan menjaga kepentingan-kepentingan asas manusia, dan mewajibkan seorang Muslim untuk berbuka puasa andai meneruskan puasa berisiko memutus nyawa, berbuka puasa bukan pilihan mudah-mudah untuk umat ini di dalam sejarah.
Di dalam sepotong hadith riwayat al-Imam Muslim:
قال أبو الدرداء لقد رأيتنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في بعض أسفاره في يوم شديد الحر حتى إن الرجل ليضع يده على رأسه من شدة الحر وما منا أحد صائم إلا رسول الله صلى الله عليه وسلم وعبد الله بن رواحة
 Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu berkata, “Kami pernah musafir bersama Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada Ramadan ketika musim panas yang amat sangat, sehinggakan seorang antara kami meletakkan tangannya di atas kepala kerana panas yang sangat menyengat. Tidak ada antara kami yang berpuasa kecuali Rasulullah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Abdullah bin Rawahah.” [Hadith riwayat Muslim]
Semasa bermusafir, memang ada pilihan antara berbuka dan terus berpuasa. Kedua-duanya diterima tanpa yang tidak berpuasa diaibkan oleh mereka yang berpuasa.
Namun, dalam kepanasan Ramadan seperti itu, ada beberapa individu yang luar biasa. Ada dua insan yang terus berpuasa, iaitu Penghulu kita Rasulullah allallaahu ‘alayhi wa sallam, dan Abdullah bin Rawahah radhiyallahu ‘anhu. Dua insan yang mengambil kepanasan Ramadan sebagai sebuah cabaran. Kedua-duanya adalah wira besar umat. Sudah tentu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai uswah hasanah kita, mendahului keperwiraan itu.
Kemudian Abdullah bin Rawahah, insan berjiwa seni, yang akhirnya gugur sebagai syahid dalam perjuangannya di Medan Mu’tah!
Apa motivasi mereka?
MOTIVASI GENERASI EMAS
Abu Darda’ sendiri pernah berpesan:
 صوموا يوما شديدا حره لحر يوم النشور وصلوا ركعتين في ظلمة الليل لظلمة القبور
Berpuasalah kamu pada hari yang panas, pada memikirkan panasnya Mahsyar itu nanti. Dirikanlah solat dua rakaat pada malam yang gelap, dek memikirkan gelapnya liang lahad di alam kubur nanti
Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu semasa di baringan maut, berpesan kepada anaknya Abdullah:
عليك بخصال الإيمان وسمى أولها : الصوم في شدة الحر في الصيف
Hendaklah kamu memelihara cabang-cabang Iman… lalu Umar menyatakan yang pertamanya: berpuasa pada hari yang sangat panas di Musim Panas
Berpuasa di musim panas yang terik ini, dikenali di kalangan Salafussoleh sebagai Zama’ al-Hawajir.
Bukan sekadar Ramadan, malah puasa-puasa yang sunat, amat diutamakan oleh para Sahabat untuk dilakukan di musim panas yang terik dan siang panjang itu. Antaranya adalah Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu ‘anhu.
BARANG MAHAL
Sekumpulan wanita solehat seperti yang dinukilkan kisahnya di dalam Lathaif al-Ma’aarif oleh Ibn Rajab al-Hanbali, mereka berpuasa di musim panas dengan penuh keteguhan. Apabila ditanya tujuan berbuat demikian, mereka berkata:
إن السعر إذا رخص اشتراه كل أحد
“Sesuatu yang murah, boleh sahaja dibeli oleh sesiapa!”
Wanita ini mencabar diri mereka, bahawa untuk berdiri mulia di hadapan Allah, mereka mesti mencabar diri. Mereka bukan mengambil ruang-ruang kelonggaran dengan seadanya, tetapi memilih musim-musim yang sukar untuk bertanding dengan diri sendiri. Zama’ al-Hawajir, benar-benar musim ‘Olimpik’ para Salafussoleh!
OLIMPIK LONDON 2012
Semangat inilah yang ingin saya tiupkan kepada para atlet negara yang menyertai Temasya Sukan Olimpik di London pada 27 Julai – 12 Ogos akan datang.
Pingat emas Olimpik bukan untuk atlet sebarangan. Ia adalah pengiktirafan untuk YANG TERBAIK.
Kali ini Olimpik berlangsung di bulan Ramadan dan Musim Panas.
Atlet kita menjadi pejuang di era  Zama’ al-Hawajir!
Semoga dengan semangat luar biasa melalui ibadah puasa yang mencetuskan kekuatan terbaik, kita akan melihat sinar emas di Temasya kali ini. Bukan nilai emas itu yang dikejar. Tetapi membuktikan bahawa atlet Muslim yang berpuasa di musim  Zama’ al-Hawajir, jangan main-main dengan mereka.
Sokongan saya buat seluruh pasukan negara di London.

Dr Asri @ Dr Maza

Betulkah Niat Puasa Kita?




Tibalah satu lagi Ramadan untuk kita. Satu bulan penuh rahmat, penuh keberkatan dan juga peluang meningkatkan prestasi ibadah.
Anggaplah bulan ini sebagai satu titik perubahan untuk kita, daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik. Satu isu yang menonjol dalam dunia tarbiyah setiap kali menjelang Ramadan, adalah kefahaman dan kecintaan terhadap bulan puasa itu sendiri. Jadi bukanlah sesuatu yang perlu bagi saya untuk memberi pendapat tentang isu ni, kerana ia sudah terlalu banyak dibicarakan di internet.
Saya cuma ingin ketengahkan satu perkara; niat kita berpuasa. Saya pernah terbaca dalam satu artikel bahawa "Orang Malaysia memang suka buat ibadah sunat, walhal ibadah wajib ditinggalkan".
Perkara ini, pada hari-hari biasa pun, banyak berlaku depan mata kita. Sebagai contoh, ada yang berpuasa sunat Isnin dan Khamis walaupun solat fardu kadang-kadang ditinggalkan (contohnya, kita sangat susah untuk bangun menunaikan Solat Subuh). Ada juga yang bersedekah beratus-ratus ringgit tetapi zakat tidak ditunaikan. Niat sebenar? Berpuasa untuk menjimatkan duit, bersedekah untuk mendapat pujian. Takkan berguna puasa dan infak itu. Sia-sia.
Konsep menyambut Ramadan sebagai bulan puasa adalah tidak adil. Ramadan bukan bulan untuk berpuasa semata-mata. Kita sepatutnya menyambut Ramadan sebagai satu medan pertarungan satu-dengan-satu (one-on-one) dengan nafsu kita. Jika tiada syaitan pada bulan Ramadan, kenapa masih ada orang yang buat jahat? Kenapa masih ada yang mencuri, menipu, apatah lagi ponteng puasa?
Apabila tiada syaitan, yang tinggal hanya nafsu kita. Kita berperang dan bertarung dengan nafsu saban hari - bermula dari saat bangun daripada tidur, sampailah waktu kita pejam mata untuk tidur. Berpuasa adalah untuk menahan nafsu, bukan untuk menahan lapar dan dahaga semata-mata. Berpuasa adalah untuk menjaga hati, lidah dan perbuatan. Berpuasa adalah untuk mengenal erti penat lelah, memahami dan mensyukuri nikmat yang melimpah ruah daripada Allah SWT. Berpuasa adalah untuk syurga yang hakiki.
Betulkan semula niat kita. Bukan cuma sekadar menyatakan lafaz, dan menahan diri daripada makan dan minum, tetapi fahami erti sebenar berpuasa. Barulah ibadah itu akan terkesan, lalu membawa kepada istiqamah selepas Ramadan. Bercakap tentang istiqamah, apabila mendengar orang menyebut 'Ramadan Kareem', kita digalakkan menjawab dengan 'Allahu Akram'. Maksudnya, 'Ramadan yang mulia, Allah lebih mulia'.
Ingatlah pesanan Imam Hassan Al-Basri: "Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana) jangan menjadi hamba Ramadan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadan)"
Ingatlah juga pesanan dari Rasulullah SAW - daripada Umar bin Khathab RA berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung pada NIATnya. Dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasulNya, ia akan sampai pada Allah dan RasulNya. dan barang siapa hijrahnya menuju dunia yang akan diperolehnya atau menuju wanita yang akan dinikahinya, ia akan mendapatkan apa yang dituju." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kalau setakat baca niat puasa, dan esoknya cuma tahan makan dan minum, budak darjah satu pun mampu buat! Kita tak nak ibadah puasa kita sia-sia. Rasulullah SAW bersabda, "Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga." (Riwayat an-Nasaei)
Puasa kita mungkin sah pada mata manusia. Tapi mungkin tidak sampai ke Arasy Allah. Mungkin tak tercapai maksud dan tujuan utama berpuasa. Jadi betulkanlah niat kita. Tahanlah marah. Tak perlu cakap benda-benda yang tak penting. Hentikanlah mengumpat. Sekalipun bercakap benda yang sia-sia mampu membatalkan puasa anda.
Daripada Abu Hurairah RA katanya bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya." (Hadis Riwayat Bukhari)
Pengakuan jujur, saya sendiri pun susah nak menjaga benda-benda macam ini. Niat adalah sesuatu yang memakan masa untuk diterapkan. Tapi apa salahnya mula sekarang? Kita makin tua, hidup makin singkat. Entah-entah esok lusa kita mati. Insya-Allah, makin kurang usia di dunia, makin kurang dosa kita.
Kalau niat anda rumit untuk diperbetulkan, tak apa. Puasa dulu. Ikut ajaran Islam. Macam orang nak pakai tudung, pakai dulu. Nanti akan datang satu 'hadiah' daripada Allah, yang cuma Allah boleh bagi. Bila dapat 'hadiah' itu, insya-Allah. Anda akan rasa manisnya iman bila niat kita betul-betul fisabilillah. Kita bukan sekadar tahu sebut, kita akan tahu rasa. Nak rasa? Cubalah sendiri.
Jadi, sebelum tidur malam ini, kita baca niat puasa dulu. Tak, bukan sekadar baca, tapi cuba kita rasa. Rasa niat puasa. Rasa suasana Ramadan. Rasa indahnya keberkatan. Rasa kepuasan melawan nafsu. Menang dengan diri sendiri. 
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya." (Riwayat Hadis Bukhari dan Muslim)
Mari kawan-kawan, kita berpesta ibadah. Salam alaik~

Catatan Kemenangan Ramadan


Ramadan merupakan penghulu bagi segala bulan. Ramadan juga adalah madrasah jihad dan kemenangan sepertimana yang dicatatkan di dalam lembaran sejarah Islam. Antara peristiwa besar yang terpahat di dalam bulan Ramadan adalah:
1. Permulaan Nuzul al-Quran
Penurunan al-Quran adalah titik mula peradaban manusia. Ia telah menghapuskan kegelapan Jahiliyyah dan memancarkan sinar keilmuan Islam melalui kalam Ilahi. Di sinilah bermula tertegaknya Tamadun Islam yang berpandukan kitab suci al-Quran.
2. Kemenangan Dalam Peperangan Badar
Kemenangan tentera Islam dalam peperangan Badar pada tahun ke-2 Hijrah membuktikan ketinggian iman dan ketakwaan kepada Allah SWT mampu mengatasi bilangan musuh yang jauh lebih ramai. Kemenangan ini menjadi suntikan kepada umat Islam untuk terus menegakkan agama Islam. 
3. Pembukaan Kota Mekah
Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadan tahun 8 Hijrah. Sebelumnya, Kota Mekah menjadi kota keagamaan bagi beberapa agama yang bersifat pagan, animisme dan tradisi masyarakat Quraisy. Sejarah pembebasan Kota Mekah menjadi kemuncak kepada kemenangan Islam khususnya kaum Mujahirin yang diusir oleh kaum kafir Quraisy.
4. Pengislaman Rombongan Dari Taif
Kedatangan rombongan Thaqif dari taif menemui Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan pada tahun ke-9 Hijrah untuk memeluk Islam
5. Kemenangan Dalam Peperangan Qadisiyyah
Peperangan Qadisiyyah menyaksikan kemenangan Islam menumbangkan Parsi pada tahun ke-15 Hijrah.
6. Penguasaan Andalusia
Pada tahun ke-91 Hijrah, Tariq bin Ziyad berjaya menguasai Kota Andalusia. Peristiwa ini adalah permulaan bagi bertapaknya Islam di benua Eropah.
7. Kemenangan Dalam Peperangan Zallaqah (The Battle of Zallaca)
Pada pagi Jumaat, bersamaan 25 Ramadan tahun 479 Hijrah, berlaku peperangan Zallaqah (satu kawasan tanah rendah yang terletak berhampiran Portugis). Dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Yusuf bin Tashfin telah mengalahkan tentera Perancis, pimpinan Raja Alfonso VI
8. Kemenangan Ke Atas Tentera Salib
Salahuddin al-Ayyubi mengalahkan Tentera Salib pada bulan Ramadan, iaitu pada tahun 584 Hijrah. Seterusnya, mereka berjaya mengambil semula bentang Safad.
9. Perang Ain Jalut
Kerajaan Mamalik mengalahkan pasukan tentera Tartar Monggol di Ain Jalut pada bulan Ramadan tahun 658 Hijrah.
10. Islam Sampai Ke Yaman
Rasulullah SAW mengutuskan Ali bin Abi Talib ke Yaman pada bulan Ramadan tahun ke 10 Hijrah, yang membawa kepada pengislaman penduduk Yaman.
11. Khalid al-Walid Meruntuhkan Berhala al-Uzza di Kaabah
Selepas peristiwa pembebasan kota Mekah, Rasulullah SAW telah memusnahkan 360 buah berhala di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadan pada tahun ke-9 Hijrah, baginda menghantar Khalid al-Walid untuk memusnahkan berhala al-Uzza di Nakhla.
12. Peperangan Yakhliz
Pada 15 Ramadan tahun 1294 Hijrah, tentera Islam di bawah pimpinan Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34 000 bala tentera telah menumpaskan tentera Rusia yang berjumlah 740 00 orang. Hampir 10 00 orang tentera Rusia terbunuh dalam peperangan itu. Ia menjadi kebanggan umat Islam yang sebelumnya diancam kerajaan Tzar di Rusia.
13. Tertawannya Garis Bar Lev
Kemenangan tentera Mesir dan Syria mengalahkan tentera Israel di Semenanjung Sinai pada bulan Ramadan tahun 1393 Hijrah. Ini menjadi pukulan hebat kepada tentera Israel yang cukup berbangga dengan kubu yang kebal itu.
Renungan
Sebahagian peristiwa di atas jelas, menunjukkan betapa tentera Islam makin bersemangat dengan kedatangan Ramadan. Ramadan dilihat sebagai satu bulan utk mengecas kekuatan ruh seterusnya mengalahkan nafsu syahwat. Kerana itulah mereka menuju ke medan jihad dengan diakhiri kemenangan.
Tentera Islam mempunyai kekuatan rohani dan jasmani berbanding tentera musuh yang cuma mempunyai kekuatan jasmani. Jiwa mereka kosong, hati mereka diselubungi ketakutan lantaran keberanian yang dizahirkan oleh tentera islam hasil daripada ubudiyyah mereka kepada Allah SWT.
Syeikh Dr. Fathi Yakan dalam bukunya, Maza Ya'ni Intima'i Li al-Islam menyebut, "Orang-orang yang terdahulu dari kita benar-benar mengetahui dan memahami bahawa dakwah mereka tidak akan mencapai kejayaan kecuali dengan jihad, pengorbanan, penyerahan harta kekayaan dan jiwa raga lantas merekapun mengorbankan diri dan harta benda mereka untuk perjuangan. Mereka berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka mendengar seruan Allah yang menyeru mereka."
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran menyebut:-
قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ
اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ 

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)".
(Surah At-Taubah ayat 24)
Sebaik sahaja mendengar seruan yang berupa ugutan itu, merekapun terus menyambutnya. Mereka membebaskan diri mereka dari segala sesuatu yang mereka cintai dengan penuh kerelaan hati malahan mereka bergembira dan merasa bahagia dengan janji setia yang mereka berikan kepada Allah. 
Malah ada di kalangan mereka yang bertarung dengan maut tetapi masih menyeru:
"Maralah menuju Allah dengan tidak membawa sebarang bekalan." 
Ada juga di kalangan mereka yang mengorbankan seluruh harta benda yang dimiliki dengan berkata:
"Aku tinggalkan untuk keluargaku Allah dan rasulNya."
Ada juga di antara mereka yang bermadah sedangkan mata pedang sedang berada di atas batang tengkuknya:
"Aku tetap tidak peduli. Asalkan aku seorang Muslim. Biarpun diriku dibunuh mati. Untuk Allah kematianku pasti"
Demikianlah yang telah terjadi kepada mereka, mereka berjihad dengan jihad yang benar, pengorbanannya besar, penyerahan diri yang sungguh - sungguh. Justeru, sewajarnya bagi umat Islam mengambil ruh Ramadan untuk meraih kemenangan yang besar samada menentang hawa nafsu atau benar-benar menjadi hamba Allah yang soleh.